Thursday, 23 June 2016

ANA TELAH DIKHITBAHKAN DAN AKAN BERNIKAH.

Assalamualaikum...

assalamualaikum to all readers~...ape khabar hari ni??iman??jasadi??....♥

moga setiap detik kehidupan kita dimanfaatkan untuk islam....(^^)

******************

Ana telah di khitbah...     wahai hati........kuatkan diri..

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu ana sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, ana berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat ana , meletakkan ana kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

ana hanya seorang gadis. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. ana tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. ana bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, ana bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga ana bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

ana bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, ana juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, ana bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. ana hanya seorang hamba yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi ana juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar ana sudah dikhitbah apabila melihat ku memakai cincin di kedua tangan di jari manis. ana hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana ana belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, ana tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya ana jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

ana menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

 "Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, ana menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari ana sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali ana ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja ana menangis semahunya tetapi sudah ana ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana ana akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan ana terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, ana semakin banyak mengulang al-Quran. ana mahu sebelum tibanya hari yang ana nantikan itu, ana sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan ana tenang... As-Syifa' ana adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah ana menanti. Benar, ana sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

ana tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa ana sudah bertunang, kebenarannya itu antara ana dan keluarga.

"Insya Allah, dia tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, ana senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. ana tersenyum lagi.

Jangan lupa jemput saya di hari menikahnya, jangan lupa!"

ana hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu ana zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai ana sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan dia yang mendekatkan ana dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang ana habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana ana mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila awak menikah?"

Ana tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti awak akan tahu..."

 Ana masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan ana sengaja tetapi memang benar ana sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput saya tau!"

Anis tersenyum megah.

"Kalau awak tak datang pun saya tak berkecil hati, doakan saya banyak-banyak!"

Itu saja pesanku. Ana juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu ana tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu ana menyiapkan diri sebaiknya. Untung ana dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain...

Semuanya ana sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan ana katakan sekali lagi kepada ibu...

 "Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Jom makan!"

Ana tersenyum lagi...

Akhir-akhir ini ana begitu pemurah dengan senyuman.

"Sila-sila, ana puasa."

:)

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, ana tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan ana sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Ana juga menanti dengan penuh debaran, moga ana bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan ana, itu sahaja.

******************

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan ana pada ibu.

Akhirnya, ana selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun ana tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan ana kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang ana rahsiakan dari pengetahuan umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Anis bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

 "mardhiah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... 

"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..."

Terduduk Anis mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut...

"Ini nak, bukunya.

" Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la dia selalu menangis.. Anis tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Anis masih kaku. Tiada suara yang terlontar.

************************************

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta."

** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.**

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~

edited from: iluvislam

nota kaki: kisah nih bukan kisah ana. tapi kisah ini adalah kisah kita. kisah kita yang telah di khitbahkan dan di tunangkan dengan maut. bukan nak buat kontroversi atau mereka-reka cerita. namun ini adalah peringatan buat kita semua. hari ini kita lalai dan leka dalam mengejar cinta dan cita-cita yang kebanyakkannya berimpikan dunia. namun kita lupa untuk menabung dalam saham akhirat. negeri yang abadi tempat kita akan kembali. selamanya.


entah bila 'majlis' kita akan di rai. entah bila 'dia' datang menyunting kita. itu rahsia Allah. rahsia yang kita tidak pernah berhak untuk mengetahuinya. 

Sunday, 19 June 2016

KENALILAH TUHAN YANG MENGUJI MU - PAHROL MOHD JUOI


Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” Subhanallah, saya terasa ingin menjawab rasa hati ini dengan sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar terpanggil. Tetapi kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan tulisan yang secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun, marilah sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis ini jika diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai. Terimalah tulisan ini sekadarnya....

KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU! 

Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,  terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba… 

Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”

Di antara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu.  Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,  nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:

                 “…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu.
             Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?  Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,  tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:

I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.

II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.

III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”

 Petikan dari blog Pahrol Mohd Juoi - Penulis buku Di mana DIA Di Hatiku? http://genta-rasa.com/2012/09/25/kenalilah-tuhan-yang-menguji-mu/

Tuesday, 7 June 2016

Daie Itu....

Duhai hati-hati yang celik,

Hari ini, kita sudah mempunyai ramai penghafaz al-Quran. Kita juga sudah mempunyai ramai graduan agama. Setiap tahun, beribu-ribu pelajar agama merayakan konvokesyen. Begitu juga, kita mempunyai ramai professional dalam pelbagai bidang.

Syukur, alhamdulillah! Tapi kita masih kekurangan satu perkara. Kurang apa? Kita kekurangan daie. Kita kekurangan golongan agamawan dan profesional ini bangkit menjadi pendakwah.


Seorang Mengesani Ribuan Orang

Ummah rindukan daie yang mampu mengusap lembut hati-hati semua golongan. Dakwahnya sampai ke jiwa para cendikiawan, orang awam, kaum terpelajar, orang kurang pelajaran, penduduk kota, penduduk desa, penghuni gedung-gedung mewah mahupun rumah biasa. Daie yang dengan dirinya seorang boleh mengesani ribuan orang.

Kalau daie itu jumlahnya ribuan orang, lagi bagus. Boleh mengesani setiap ceruk alam, insya-Allah.

Umat hajat untuk melihat Islam yang berjalan dalam diri, keluarga, dan dalam aktiviti para pendakwah. Melalui dakwah, akan berlakulah perbaikan umat secara integral, dan mengeluarkan manusia daripada kepekatan jahiliah menuju cahaya Islam.


Penyeru Kepada Allah

Siapa mempunyai cita-cita mahu menjadi doktor hati umat? Mengajak orang lain kepada kebaikan. Tidak kira apapun kerjaya yang kita ceburi akan datang, kita boleh memilih untuk menjadi daie.

Samada kita seorang jurutera, atau doktor, atau ustaz, atau tukang kebun, atau petani, atau penoreh getah, atau penjual nasi lemak, atau juruteknik atau apa sahaja. Selitkanlah di hujung cita-cita ini mahu menjadi daie.

Daie yang macam mana?
Daie ini ada macam-macam sebenarnya. Ada:

1.      Ad-daie ilayya- hanya mengajak orang kepada individu tertentu.
2.      Ad-daie ilaina- hanya mengajak orang kepada kumpulan tertentu.
3.      Ad-daie ilallah- mengajak orang kenal Allah dalam hidupnya. Secara tidak langsung dia kenal juga induvidu dan kumpulan yang harus dia bersama.


Sebaik-baik Perkataan

Sungguh hebat kedudukan ad-daie ilallah ini sehingga Allah SWT mengiktiraf perkataannya di dalam al-Quran.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan, dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim yang berserah diri.” (Surah Fussilat: 33).


Duhai hati yang hidup,

Mari bermonolog dengan Allah… 
Aku datang kepada-Mu, duhai Allah. Aku mahu menjadi pekerja-Mu, duhai Allah. Aku hidup sebab hendak penuhi agenda-Mu, duhai Allah. Aku hendak buat apa sahaja yang Kau sukai, duhai Allah. Aku tidak mahu membuat apa sahaja yang Kau tidak sukai, duhai Allah.

Semoga niat baik di hati akan membuatkan Allah SWT sudi memilih hati kita. Lalu, dicampakkan rasa ‘izzah’ (mulia) bagi melantunkan ahsanu qaulan, sebaik-baik perkataan. Hingga, tidak jemu melantunkan kalimah-kalimah daie yang mengajak orang kepada Allah SWT.

Biar orang bosan dengan kita. Jangan sesekali kita bosan dengan orang. Ajaklah siapa yang terdekat,

“Jom, kita baca al-Quran sama-sama. Kita jadi hamba Allah yang baik.”
Mungkin ada hati yang berbisik,
“Erk! Macam poyo!”

Ya. Memang ada yang malu hendak bercakap tentang Allah dalam perbualan seharian. Takut nanti orang kata,

“Hek eleh, alim kucing konon.”
“Hipokrit! Uweks..”


Duhai hati,

Seronokkah kita membiarkan hidup kita tidak bebas? Bukan orang yang memenjarakan kita. Tapi, kita sengaja mengikat diri kita. Terkongkong dengan persepsi orang lain. Kita lalu tidak bebas hendak berbuat baik sebab orang. Sampai bila?

Terpulanglah kita mahu menjadi hamba kepada persepsi orang, atau hamba Allah. Kelak kita bertanggung jawab ke atas pilihan kita ni.

Pilihlah untuk menjadi daie. Tenang di hati. Dicintai Ilahi. Kasih makhluk bertaut sekali. Bahagia hidup hingga ke negeri abadi.


Cahaya Daie

Tanpa daie, masyarakat akan menderita penyakit bodoh.  Mereka akan diperdaya syaitan, jin dan manusia bila-bila masa sahaja.

Daie ibarat lampu pendaflour di jalan yang gelap. Ia memberi cahaya kepada pengguna jalan raya.
Daie juga bagaikan imam dan pemimpin. Mereka menjadi hujah Allah yang berjalan di atas muka bumi. Penyingkir kesesatan di fikiran manusia. Awan keraguan diarak pergi daripada hati dan jiwa mereka. Merekalah teladan dalam pembicaraan dan juga amalan.


Dakwah perlukan Kaedah, Baru Berfaedah

Hendak menjadi daie, bila-bila masapun boleh. Siapapun boleh. Dengan hanya memaniskan wajah, dan berkata-kata baik, kita sudahpun melakukan dakwah. Bahkan dengan menggeleng-gelengkan kepala apabila diajak berbuat maksiat, itu juga dakwah.

Hendak menjadi daie sejati perlukan kaedah dakwah. Kaedah dakwah ni ialah pemahaman tentang seluk beluk dakwah. Tanpa kaedah, kita bimbang dakwah kita lebih membawa kerosakan daripada manfaat.

Daie dengan kaedah berdakwah bagaikan dua sisi wang siling. Tidak boleh dipisahkan. Sebelahnya bercorak bunga-bunga. Sebelah lagi pula, ada nilai mata wang. Kalau ada sebelah sahaja, hilang nilainya.

Moga dengan kaedah dakwah ini, musuh-musuh Islam tidak dapat lagi menuduh para pendakwah Islam sebagai pengganas, pemaksa atau kaki penyibuk. Kaedah dakwah memandu para pendakwah sentiasa berhikmah, berpanduan dalam tindakan, tenang dan waras.

Apa kaedahnya? Tidak cukup ruang hendak bincang. Insya Allah, akan datang.


Daie Terbaik

Daie terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Bila bergelar daie, itu tidak bermakna baginda menjadi manusia yang terpisah daripada rutin manusia biasa yang lain. Bukannya, berpuasa 24 jam. Baginda berpuasa dan berbuka. Baginda juga berjalan di pasar-pasar. Bukannya, menganggap pasar itu jijik dan tidak sesuai untuk orang-orang soleh.

Apabila kita mempelajari kehidupan Rasulullah, kita akan menemui contoh yang paling tepat untuk menjadi daie buat umat.


Berjiwa Daie

Sunnah berdakwah,
sakit dan susah
namun,
awalnya saja payah,
akhirnya penuh barakah,
Allah sudahpun memujuk,
Akhir dakwahmu lebih baik dari awal dakwahmu,
Akhiratmu lebih baik daripada duniamu.

Jika kita tidak mahu berpayah-payah,
dalam berdakwah,
Kita kan payah juga,
Payah,
didera dosa membuang masa,
Bosannya merantai seluruh jiwa.

Wahai pendakwah,
Sabarlah dengan cacian manusia,
Jika ada 10 orang yang  membenci,
ada 1000 yang lain sudi menyayangi,
Jika ada 10 yang mengata,
Ada 1000 bangkit membela.

Namun,
andai seluruh dunia menghinamu,
Jangan pernah berputus asa,
Kerana kau punya kekasih yang Esa,
Dia tetap setia, selamanya,
Selagi kau setia mencintai-Nya,

Dengan setulus-tulus cinta.