Assalamualaikum...
assalamualaikum to all readers~...ape khabar hari
ni??iman??jasadi??....♥
moga setiap detik kehidupan kita dimanfaatkan untuk islam....(^^)
******************
Ana telah di khitbah...
wahai hati........kuatkan diri..
Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya,
namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu ana sambut dengan hati yang diusahakan untuk
berlapang dada. Benar, ana berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah
Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat
untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat ana ,
meletakkan ana kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah
dengan tabah.
ana hanya seorang gadis. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak
juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga
menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini.
ana tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. ana bisa melihat dengan sepasang
mata pinjaman Allah, ana bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah
juga ana bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti
manusia lain.
ana bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, ana juga tidak
sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, ana bukan sebaik Sayyidah
Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan
memartabatkan Islam. ana hanya seorang hamba yang sedang mengembara di bumi
Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi ana
juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji
wajahku berseri dan mereka yakin benar ana sudah dikhitbah apabila melihat ku
memakai cincin di kedua tangan di jari manis. ana hanya tersenyum, tidak
mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan
yang maha banyak, tetapi diam ku kerana ana belum mampu memperkenalkan insan
itu. Sehingga kini, ana tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya ana jawab dengan penuh
tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
ana menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu
akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan
berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, ana menyelak satu per satu... helaian demi
helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari ana sebagai hamba Allah. Malam
Pertama... Sukar sekali ana ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja ana
menangis semahunya tetapi sudah ana ikrarkan, biarlah Allah juga yang
menetapkan tarikhnya kerana ana akan sabar menanti hari bahagia tersebut.
Mudah-mudahan ana terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan
ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, ana semakin banyak mengulang al-Quran.
ana mahu sebelum tibanya hari yang ana nantikan itu, ana sudah khatam al-Quran,
setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap
ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan ana tenang... As-Syifa'
ana adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah ana menanti. Benar, ana
sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan
tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak
tak?"
ana tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku
masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian
sendiri bahawa ana sudah bertunang, kebenarannya itu antara ana dan keluarga.
"Insya Allah, dia tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak
dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata
mereka, ana senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. ana tersenyum lagi.
Jangan lupa jemput saya di hari menikahnya, jangan lupa!"
ana hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu ana
zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai ana sedang
berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan dia yang mendekatkan ana dengan
Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang ana
habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana ana mahu
kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap
derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila awak menikah?"
Ana tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti awak akan tahu..."
Ana masih menyimpan tarikh
keramat itu, bukan ana sengaja tetapi memang benar ana sendiri tidak tahu bila
tarikhnya.
"Jemput saya tau!"
Anis tersenyum megah.
"Kalau awak tak datang pun saya tak berkecil hati, doakan saya
banyak-banyak!"
Itu saja pesanku. Ana juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan
pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus
berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya
nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu ana tidak mampu
memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu ana menyiapkan diri sebaiknya.
Untung ana dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain...
Semuanya ana sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan ana katakan
sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan
ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Jom makan!"
Ana tersenyum lagi...
Akhir-akhir ini ana begitu pemurah dengan senyuman.
"Sila-sila, ana puasa."
:)
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya
tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum
ditetapkan lagi."
Sehingga kini, ana tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan
ana sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Ana juga menanti dengan penuh debaran,
moga ana bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia
sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan ana, itu sahaja.
******************
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."Allah, itu suara
sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan ana pada ibu.
Akhirnya, ana selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian.
Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun ana tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan ana kepada
Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang ana rahsiakan dari pengetahuan
umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang
mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku...
Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih.
Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia'
yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam
akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang
tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha
mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Anis bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"mardhiah bertunang
dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku. Kanser
tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada
tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja
sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..."
Terduduk Anis mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut...
"Ini nak, bukunya.
" Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah
al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la dia selalu menangis.. Anis tak tahu mak
cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu
berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Anis masih kaku. Tiada suara yang terlontar.
************************************
"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh
MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan
MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada
ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, baginya anak adalah pinjaman
dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta."
** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar
kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada
hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah
tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya
dengan sehelai kain putih tak berharga.**
~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~
edited from: iluvislam
nota kaki: kisah nih bukan kisah ana. tapi kisah ini adalah kisah
kita. kisah kita yang telah di khitbahkan dan di tunangkan dengan maut. bukan
nak buat kontroversi atau mereka-reka cerita. namun ini adalah peringatan buat
kita semua. hari ini kita lalai dan leka dalam mengejar cinta dan cita-cita
yang kebanyakkannya berimpikan dunia. namun kita lupa untuk menabung dalam
saham akhirat. negeri yang abadi tempat kita akan kembali. selamanya.
entah bila 'majlis' kita akan di rai. entah bila 'dia' datang
menyunting kita. itu rahsia Allah. rahsia yang kita tidak pernah berhak untuk
mengetahuinya.
No comments:
Post a Comment