Saturday, 30 April 2016

KESEDIHAN



SEDIH


Buku menangis
kala para pembaca
yang baru mencicipi sedikit ilmu
sudah merasa lebih pintar dari Tuhannya
lalu berusaha merubah aturan pada kitab suci
dan mencba membuat hukum sendiri
yang dirasanya lebih manusiawi
yang dianggapnya sesuai jaman kiwari
padahal dia hanya berbekal sejempit ilmu
tanpa bekal pengetahuan agama yang memadai
beraninya buat aturan sendiri
menganggap Tuhan hanya tahu masa lalu
dan ayat-ayat sucinya tidak sesuai masa kini
jadilah agama ditafsirkan sekehendak hati
tanpa landasan yang jelas untuk dikaji
malapetaka bagi seluruh negeri
bila ajaran mereka diikuti

Friday, 29 April 2016

LUKISAN HATIKU

Melihat mereka dengan segala kelebihan,
Menjadikan aku lupa akan segala nikmat,
Tidak bersyukur atas pemberian Tuhan,
Iman makin jauh, makin tenat.

Aku..
Penat..
Sungguh aku penat..
Hurm..
Sampai bila semua ni akan berakhir?
Kepala aku buntu, minda aku celaru.
Ku kira dengan pejaman mata,
Semua akan berlalu,
Namun ternyata ianya masih begitu,
Tidak berganjak walau sebatu.
Aku..
Akhirnya sedar..
Penatnya aku kerana aku terlalu mengejar dunia,
Resah dengan dunia, asyik fikirkan dunia,
Sehingga Allah aku buang entah ke mana,
Iman di hati kubiarkan meronta mencari cahaya.
Jika dunia yang dikejar,
Pasti akan letih dan akhirat akan pergi,
Jika akhirat itu yang dicari,
Sejauh mana pun melangkah,
Dunia pasti akan mengikuti.
Letih itu,
Bukannya kerana banyaknya ujian,
Namun kerana sedikitnya pergantungan,
Kepada Yang Maha Kuasa pada hari perhitungan.
Recharge iman, recharge taqwa, masih ada u-turn ke arah Ilahi sebelum Dia menjemputmu pergi.

1453 || 29042016
#hatimembisu



LAMUNAN HATIKU

"Seems like you've ate a lot these couple of days."
'Haha..you know me. When the clouds came by, I'll never let my stomach empty.'
"Hmm..so, what's happen now?"
'Nothing.'
"Haha..I know you. Hmm..look at these.." Gambar kanak-kanak Palestin disuakan kepadaku. Mereka makan rumput sebab tiada makanan. Bahkan ada yang dah tak makan beberapa hari. Aku menatapnya satu persatu. Tidak semena-mena air mataku menitis.
"Kau tahu tak, setiap gram berat badan kau naik sebab kau berlebihan makan mungkin ada hak orang lain yang telah kau rembat. Banyak makan punca banyaknya maksiat kerana banyak maksiat datangnya dari perut. Being under pressure doesn't mean that you have the permit to eat until your stomach burst. It only means that Allah is testing you. How do you deal with it? See these Palestinian and Syirian kids? They are much more stress and depress than you. But how do you them? They smile even they have nothing to eat. They grin even they lost their entire family. They still can play even their homes ruined. Because what? Because they know that they have Allah. They depend only to Him so that they never feel depressed. Well, much more things that we can learn even from the children."
Aku terkedu. Hilang kata. Mati aksara. Heartshot betul-betul sampai ke hati. Makanan ringan di tanganku ku letakkan ke tepi. Mulutku berhenti mengunyah. Ku kira, dengan makanan aku boleh lepaskan bebanan. Tapi apa yang aku dapat, 'bebanan' badanku yang bertambah, tapi imanku semakin berkurang.
Stress dengan hidup? Tidak bermakna aku perlu lepaskannya dengan makan apa sahaja yang aku mahu. Hidup bukannya untuk makan, tapi makan untuk hidup. Ada orang, dia akan dengar lagu bila stress. Kononnya stress akan hilang. Tapi berapa ramai yang sanggup mencari Allah ketika stress? Atau terlebih dahulu menyalahkan Allah atas segala ujian yang diberi? Allahu..
"Well dear, chill ok. Aku tahu kau stress about everything right? But the way you handle your stress is not right. You have Allah, right? It's okay if you don't wanna share your problem with me or anyone, but please, tell Allah about it. Cry to Him. Talk to Him about your feeling. He knows you better than anyone in this world. He gives you the stress, the trials. So, seek the way out of the problems from Him."
'Yes. You're right. Aku dah lama menjauh. Sebab tu rasa kosong je. Jazaakillah khairan katsir for your advices, my sahabat dunia akhirat.'
Aku mengesat air mata yang masih tersisa. Syukur, aku dikurniakan sahabat yang mampu menegurku saat aku tersilap tingkah, terlanjur langkah. Sungguh aku bersyukur, Ya Allah.
"Waiyyaki, dear. Lagipun kau tahu tak kenapa aku nasihatkan kau ni?"
'Kenapa?'
"Sebab aku taknak sahabat aku ni gemok gedempol macam ikan buntal. Dah elok-elok badan macam model, nanti jadi macam ulat beluncas pulak. Eei..aku pun taknak mengaku kawan kalau macam tu..haha"
Satu pukulan padu hinggap di belakangnya.
'Kau ingat kelakar?'
"Adalah sikit, dalam 80% camtu."
Kali kedua, aku mencubitnya pula. Puas dia menjerit kesakitan. Aku hanya tersenyum melihat gelagatnya. Kerana aku tahu, dia buat semua tu kerana ingin melihat aku tersenyum. Kerana dia adalah sahabatku, dunia dan akhirat.
0019 || 260416

TINTA KELU

29416
"Meh sini kami nyanyi satu lagu untuk hang. Mesti hang insaf." Kebetulan kami free sekejap waktu tu. Ada la juga masa untuk berbual.
'Hmm..nyanyi la kak..'
Kemudian lagu Bila Tiba kedengaran.
"Mesti hang teringat mati kan?"
Aku hanya diam. Bukan apa, orang secerianya mampu terfikirkan soal mati.
Benarlah. Cukuplah mati sebagai penghapus segala tawa, yang mematikan segala senda.
Yang mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah persinggahan, bukannya satu destinasi.
Kadang, kita takkan sangka banyak yang kita boleh belajar daripada orang di sekeliling kita.
Jangan kita lihat orang itu begitu begini, kita terus rasa dia tak layak untuk nasihatkan kita.
Mungkin Allah ingin memberikan hikmah melalui mereka yang pada hemat kita tidak mampu memberi apa-apa sepertimana orang-orang yang kita sangka baik.
'Terima kasih kak..'
Tiba-tiba ada case lagi lalu perbualan kami terhenti.


Tuesday, 26 April 2016

TINTA KALAM SEORANG SAHABAT

Peringatan ayat ini dari seorang sahabat benar-benar membuka hati... 

"Ana ramyun, min rimayatil Islam. Farmi, aina mashi'ta" 

(Aku adalah anak panah dari anak-anak panah Islam. Lemparkanlah aku, kemana sahaja yang kau mahukan" 
[Saad bin Abi Waqas] 

Sering kali kita sangkakan kitalah anak-anak panah Islam itu.. Tapi tanpa sedar kadang-kadang anak panah yang sepatutnya tajam itu tumpul kerana KITA ! 

Kerana kita gagal untuk bawa jiwa dan hati dalam perjuangan.. 

Ujian Allah takkan pernah lekang Sahabat, lebih-lebih lagi kepada kita yang mahukan Islam dalam diri kita.. 

Namun, sifir mudah perlu kita ingat,

"Perjuangan Rasulullah itu jauh lebih diuji dari kita... Ujian ini baru sedikit... Sibuk ini baru sedikit... Penat ini baru sedikit.. Bertahanlah ! Bersabarlah ! Berpenatlah ! Andai kita mahu lihat Islam terus tertegak dan subur di muka bumi ini.!" 

Allahu...




KISAH LUCU ZAMAN MATRIKULASI


Monday, 25 April 2016

KISAH MAK YANG LUNAK



Jarang aku melihat emak menangis. Dia pandai menyembunyikan kesedihannya. Pada hari kematian ayah pun emak tidak menangis. Hanya muram dan redup wajahnya sahaja dapat membayangkan akan kesedihan hati.
Watak emak berbeza dengan bapa. Jika bapa keras, baran dan kuat kemahuan, sebaliknya emak lembut, bersahaja dan mudah bertolak ansur. Walau sekasar mana perlakuan bapa terhadap emak, dia tidak pernah menyebut sekalipun tentang itu selepas kematian bapa. Apa yang selalu diucapkannya, “sudah dua minggu tidak zirah kubur bapa kamu.”
Baginya, tempoh dua minggu itu sudah terlalu lama.
Ini kisah lebih 40 tahun yang lalu…

Sabarnya Emak
“Emak, nak pergi memancing,” pintaku pada suatu pagi.
“Jangan! Nanti bapa kamu marah.”
“Tapi pergi memancing sahaja, bukan mandi.”
“Jangan, bapa kamu tidak bagi.”
“Bapa tidak bagi sebab takut saya mandi. Saya tak mandi, cuma memancing,” balas aku.
“Ha, pergilah. Jaga diri baik-baik. Jangan balik lewat. Jangan bergaduh.”
Itulah antara dialog aku dengan emak sewaktu di sekolah rendah. Emak memang mudah dikecek. Dia selalu mengalah. Bukan kerana lemah, tetapi kerana sifat lemah lembutnya.
Aku dididik mendirikan solat oleh emak. Sebagai pelajar sekolah agama yang cerdik, emak seorang yang taat mengerjakan solat. Aku masih ingat bagaimana seronoknya “membonceng” emak sewaktu emak sujud. Dan paling trill apabila emak bangun dari sujud kepada qiyam.
Itulah hiburan aku, yang paling aku ingat hingga kini. Seingat aku usia aku waktu itu baru enam atau tujuh tahun. Aku tidak pernah melihat emak marah atau merungut melainkan dibiarkannya sahaja aku berpaut di dagunya. Sekarang, apabila cucu sendiri berbuat demikian kepada aku, terasa juga rimasnya. Alhamdulillah, baru aku insafi emak rupa-rupanya sangat sabar.

Tulisan emak
Tulisan aku sangat dipengaruhi emak. Maksud aku bentuknya. Dulu, kami diajar menulis secara sambung di sekolah. Apabila kita sudah belajar tulisan sambung, menunjukkan kita telah naik kelas. Huruf S, R, F dan seumpama punya liuk-lentoknya tersendiri. Apabila pulang dari sekolah, emaklah yang jadi tumpuan aku.
“Emak, ajar tulis sambung,” pinta aku sebaik sampai di rumah. Emak senyum dan berkata, “pergi salin baju dan makan dulu!”
Emak pun dengan tekun mengajar aku. Tulisan emak cantik. Mesti condong ke kanan. Satu, satu, emak membantu dan memandu aku. Sehinggalah tulisan aku betul dan tersusun. Emak gembira, kalau tulisan aku dapat markah A. Dulu, kami belajar menulis dalam subjek yang dikenali sebagai ‘tulisan’ oleh guru-guru di sekolah rendah.
Ayat yang ditulis sama ada peribahasa, madah atau pantun. Semuanya membawa mesej yang sangat baik. Sambil mengindahkan tulisan, kita dididik dengan adab dan akhlak yang baik. Emak akan menerangkan maksud peribahasa atau madah yang aku tulis di sekolah apabila belajar menulis dengannya di rumah. Sehingga sekarang, apabila tulisan aku dipuji kecantikannya, aku teringat emak.

Ketupat
Namun, tidak semua yang emak ajar dapat aku warisi. Apabila emak mengajar aku mata pelajaran “membuat ketupat”, aku gagal. Masih gagal sehingga sekarang. Aku kurang sabar.
Emak pakar menganyam ketupat. Ketupat bawang, ketupat kerbau (kerana bentuknya seperti kerbau), ketupat jantan, ketupat betina, semuanya ada dalam kepala emak. Aku cuba juga, tetapi sering meleset. Akhirnya apabila melihat aku tidak “berbakat”, aku disuruhnya menjaga api apabila kami merebus ketupat menjelang hari raya.
Mungkin mereka yang tidak dibesarkan sezaman aku beranggapan, merebus ketupat kerja mudah. Mengawal api hanya dengan alat pengawal seperti dapur gas sekarang. Bukan. Bukan begitu!
Kerja merebus ketupat bermula dengan mencari kayu api. Sejurus menerima tugasan, aku bergegas ke belukar belakang rumah untuk mencari kayu api. Setelah agak banyak, bermulalah proses menyalakannya. Perlu ada kepingan getah atau minyak gas dan ditiup, barulah menyala.
Kaedah merebus ketupat memerlukan tahap api yang berlainan. Sewaktu belum mendidih, sudah mendidih, sehinggalah ketupat hampir masak. Di sinilah perlunya kesabaran menahan panas, meniup dan menyuraikan api.
Emak akan melihat aku dari jauh. Jika aku leka, dia mengingatkan.
“Dahaga?”
Aku mengangguk-angguk.
“Tahan. Kita berpuasa. Pergi basuh muka kalau tak tahan sangat. Memanglah panas, dekat api,” pujuk emak.
Emak memang tahan berpuasa. Sehingga kini, yakni ketika usianya sudah mencecah tujuh puluhan. Aku dilatih berpuasa sejak berumur tujuh tahun.
Walaupun kami miskin tetapi emak akan menyediakan makanan spesial sewaktu berbuka. Aku masih ingat emak menyediakan “bubur gunting”, yakni  bubur manis bersantan dengan tepung yang digunting kecil-kecil di dalamnya. Atau emak akan masak kacang panjang goreng bercili untuk aku sewaktu berbuka. Itulah gaya emak mendidik aku berpuasa.

Buku
Minat aku pada buku bermula sejak belum pandai membaca. Aku suka melihat lukisan komik atau lukisan di kulit sebuah buku. Tentunya waktu itu buku cerita panglima dan pendekar yang sedang bersilat.
Aku masih ingat buku cerita klasik tentang Hang Tuah. “Emak, baca ni mak. Ini cerita panglima,” kata aku sambil menunjukkan sebuah buku bertulisan rumi kepadanya.
“Ceritanya panjang,” kata emak sambil menyapu rumah.
“Emak baca juga. Seronok. Saya nak tahu. Emak bacalah,” rengek aku.
Emak pun berhenti menyapu dan melayan aku. Begitulah hari demi hari, ada sahaja buku yang aku jumpa untuk dibaca emak. Kadangkala hanya cebisan surat khabar yang memaparkan cerita Tarzan, Mandrake, Cowboy dan sebagainya.
“Ini emak tak tahu,” akui emak apabila aku ajukan cebisan akhbar Inggeris.
“Emak baca juga.”
Akhirnya emak membaca juga. Kini aku sedar, emak bukan membaca tetapi mereka cerita demi tidak mahu mengecewakan aku.

Keris
Cerita panglima tidak habis di situ sahaja. Emak menjadi “mangsa” keghairahan aku ingin jadi panglima. Panglima yang punya sebilah keris.
“Emak tolong buatkan keris,” desak aku.
“Emak tak tahu, minta bapa buatkan.”
Mendengar nama bapa, aku jadi  kecut. Sungguh tidak berani. Bapa sangat keras. Silap-silap aku akan dimarahinya. Bapa hanya fokus untuk aku belajar.
“Emak, tolonglah. Saya nak keris. Nak jadi panglima.”
Perlahan-lahan emak bangkit dan mula mengambil kayu dan ditakik-takiknya dengan parang. Lama juga emak “membuat” keris aku. Berpeluh-peluh juga emak dibuatnya.
“Nah, ini kerisnya,” akhirnya emak bersuara sambil menunjukkan sebatang kayu yang bengkak-bengkok umpama lok sebilah keris.
“Emak, hulu dia tak cantik. Nak yang macam kepala burung,” komplen aku.
Emak dengan sabar mengambil semula kayu itu dan mula menakik lagi. Begitulah emak sabar dengan kerenah aku. Tidak cukup setakat itu, sudah siap “keris”, aku minta emak ambil pelekat untuk dijadikan pengikat pinggang dan sapu tangan menjadi tengkolok. Setelah siap, aku pun mula berpencak dengan musuh-musuh panglima yang aku imaginasikan. Emak hanya tertawa. Puas.
Berbeza dengan cucu-cucu aku sekarang. Kehendaknya menjadi ultraman, spiderman dan superhero popular kini. Era panglima sudah berlalu. Sekarang, aku tidak lagi perlu mencari kayu, parang untuk membuat keris dan sebagainya. Cukup hanya membeli di kedai permainan kanak-kanak. Ketika cucu bergaya dengan gaya melompat dan“memfire” aku jadi gembira. Senyum.
Namun jauh di sudut hati, aku mengakui kepuasan membeli alat atau barang permainan cucu jauh sekali menandingi kegembiraan emak sewaktu membuat barang permainan untuk aku. Tiada peluh yang mengalir, cukup hanya mengeluarkan wang. Oh, baru terasa betapa ikhlas dan tingginya pengorbanan emak demi menggembirakan anaknya yang terakung.
Komik
Ketika darjah empat, tangan aku patah ketika bermain. Dan kecederaan itu memaksa aku dimasukkan ke wad untuk mendapat rawatan susulan. Siapa lagi kalau bukan emak yang menjadi peneman.
Setelah puas memarahi aku, bapa berpesan kepada emak, “jaga dia baik-baik.” Pesan pendek daripada seorang suami kepada isteri. Emak tunduk akur.
Apabila bapa keluar dari wad untuk menyambung kerjanya sebagai buruh, barulah emak berani bersuara, “itulah emak pesan, kalau main jangan ikut sangat kawan-kawan yang besar. Kamu kurus. Mudah cedera.”
Aku diam. Namun tidak lama.
“Emak, komik yang budak cina tu baca. Hospital punya ke dia yang punya?” tanya aku sambil menuding jari kepada budak cina yang berbaring selang beberapa katil dari katil aku. Dia sedang membaca komik Tarzan.
“Nanti emak tanyakan.”
Emak bingkas bangun dan menuju ibu budak cina itu. Mereka pun berbual. Tidak berapa lama, emak pulang semula ke sisi dan terus diam. Walaupun masih kanak-kanak, aku faham, komik itu kepunyaan budak Cina itu.
Melihat emak diam, aku diam. Tidak seperti masa kecil dulu, ketika aku selalu mendesak dan merengek. Kini aku mula memahami dan berfikir akan kesusahan keluarga kami.
Aku sudah mula melupakan keinginan untuk membaca komik apabila tiba-tiba tiga hari kemudian bapa datang dan berkata, “nah, baca ni,” sambil menunjukkan sebuah komik cerita Tarzan. Aku sangat gembira. Aku percaya itu semua usaha emak yang slow talk dengan bapa tentang keinginanku.
Ah, betapa gembiranya saat itu!
Walaupun aku boleh mengagak komik second hand’ itu sangat murah harganya. Namun sangat mahal pada penilaian hatiku. Jika tidak masakan aku mengingatinya hingga kini. Emak tetap komited untuk memenuhi keinginanku. Emak tidak memiliki harta, tetapi punya kualiti jiwa yang sangat tinggi untuk terus menyayangi.

Roti Canai
Pulang dari hospital, kami berjalan berdua menuju ke perhentian bas. Kami perlu berganti dua bas sebelum tiba ke kampung.
“Emak, laparlah. Teringin makan roti canai,” pintaku. Berjalan dengan tangan kiri bersimen sangat memenatkan. Aku jadi lapar dan dahaga.
“Kita tak ada duit. Duit yang ada cukup buat tambang bas kita berdua,” emak berkata perlahan.
Aku diam. Rela dan tega. Tiba-tiba emak bersuara, “kita boleh makan roti canai dengan dua syarat.”
Tanpa mendengar responsku, emak berkata, “Lepas makan kita kena berjalan kaki ke perhentian bas yang kedua. Tak jauh, tapi penat juga. Satu lagi, kita boleh beli hanya sekeping roti canai dan dua gelas ais kosong.”
Aku mengangguk. Setuju.
Kami pun singgah di sebuah kedai mamak tepi jalan. Emak memesan makanan dan minuman seperti yang dikatakannya tadi.
“Mari kita kongsi makan,” kata emak dan terus berdoa.
Kami berkongsi makanan. Tetapi aku lihat emak makan dengan perlahan. Nampak sangat dia memberi laluan untuk aku, anaknya yang sangat “kelaparan” itu. Roti canai waktu itu hanya berharga 20 sen. Ais kosong 5 sen. Sangat jauh bezanya dengan harga roti canai sekarang.
Namun, masih sangat mahal bagi kami anak-beranak waktu itu. Keluarga kami miskin, bapa pula cuma buruh kasar. Namun bagiku, dulu, kini dan selamanya itulah roti canai terlazat yang pernah aku nikmati.
Roti canai hasil kasih sayang ibu. Roti canai hasil muafakat kami anak-beranak yang sanggup berjalan hampir 2km sebagai ganti duit tambang bas yang terpaksa dikorbankan  untuk membelinya.

Kuku Emak
Sekarang emak sudah tua. Badannya tidak sekuat dulu. Tetapi jiwa dan perasaan sayangnya tetap kukuh. Anehnya, sampai saat ini emak tidak pernah meminta wang walau dalam keadaan apapun.
Emosinya juga masih sukar ditebak. Sikap bersahajanya tetap satu misteri yang sukar dibaca. Kalau sekali-sekala aku terlewat memberikan belanja bulanan, dia tidak pernah mendesak. Tidak juga mengingatkan.
Ya, berbeza sekali sikapnya dengan aku, anak lelaki sulungnya yang sering mendesak dan meminta sejak dulu. Benarlah kata orang bijaksana, siapa yang lebih cintanya, dialah yang paling banyak memberi.
Kini, hanya ungkapan ini yang menjadi tagline emak setiap kali aku menelefon, “Insya-Allah, emak doakan kamu.”
“Insya-Allah, emak doakan kamu.”
Kata-kata itu sangat sederhana. Namun penuh makna. Doa itulah yang menjadi sumbu dalam pelita hidupku. Walaupun cuba kubalas dengan jutaan budi dan jasa, mana mungkin kubeli doa emak yang sangat mahal harganya itu. Bagiku, doa yang pendek itulah yang menjadi kenangan, pengajaran, dan penghubung antara kami berdua walaupun ketika salah seorang daripada kami pergi menghadap Ilahi nanti.
Emak, kasih sayangku yang seribu, hanya layak menumpang di hujung kuku kasihmu!

SEORANG ISTERI YANG DIUJI

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”
Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman… 
SEORANG ISTERI YANG DIUJI
Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.
“Sudah lama?”
“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.
“Puan rasa kecewa, marah?”
“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”
“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.
“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”
“Puan bertindak?”
“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”
“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”
“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”
Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.
“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.
Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,”Jika puan tabah, tenang dan kelihatan ‘steady’, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?”
“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.
Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.
“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.
“Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”
Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar… Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.
“Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang… ujian poligami.”
“Puan tidak rasa dieksploitasi?”
“Oh, tidak, “jawabnya dengan tegas, “ tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri…”
“Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya,” pintas saya.
“Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?” Dia kembali kepada permasalahan asalnya.
“Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan.”
“Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini,” balasnya.
“Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi… apakah penyebabnya poligami?”
“Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz.”
“Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba,  dan sebab-sebab lain yang tidak syar’ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka  tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!”
“Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?”
“Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya.”
“Sunyi juga. Terasa kehilangan.”
“Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!”
“Saya akan kehilangan cinta suami?”
“Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah.”
“Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya ‘pelajar’ yang sedang bermujahadah!”
Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!
“Kekadang datang juga rasa cemburu… bagaimana?” kembali suara itu mengocak lamunan saya.
“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?”
“Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran,  dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu.”
“Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri,” dorong saya.
“Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji,” ujar saya perlahan.
“InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan… jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
Saya sebak. Kata-kata yang selalu saya luahkan itu menusuk hati sendiri. Seolah-olah buat pertama kali mendengarnya. Ya, hakikatnya Allah sedang mengingatkan saya ketika mengingatkan orang lain. Tabahkah hati menempuh kehidupan yang tidak akan pernah mudah ini?

Sunday, 24 April 2016

JODOH ATAU AJAL YANG MENJEMPUT DULU?

Dia memakai cincin, bila ditanya cincin apa?
katanya cincin tunang.
Yang lain teruja.
Bila ditanya bila langsung? 
katanya akan datang. Ditanya lagi bila berlangsung, katanya akan datang.
Begitulah tiap kali bila ditanya.
Hari yang dinantikan telah tiba. Dia tak menjemput tetapi mereka yang lain mengetahui lalu pergi menjenguk kawannya.
Orang pertama yang mereka cari ibunya.
Subhanallah, Allahuakbar! tenangnya dia mak cik.
Mak cik, siapa yang melamar dia? Dan siapakah dia berkahwin?
Yang melamar dia maut, Allah jodoh dia. Cincin tunang itu dipakainya sejak dia dapat tahu bahawa maut telah datang melamar dia.
Dia menjadi tunang maut sejak dia tahu kanser tulang dia sudah sampai tahap 4 bilamana doktor mengesahkan masanya tidak panjang.
Sejak dari itu dia rajin dekatkan dirinya dengan al quran, rajin berpuasa.
Jodoh itu ada dua, sama ada sesama insan atau dengan maut.
Bersediakah kita?
Cincin tunang manusia 💍
Vs Cincin tunang maut ..
Manakah yang akan menyarung dahulu?
:'(
cry emoticon

Saturday, 23 April 2016

KISAH KITA





Saya dan Awak ...
Saya dan Awak banyak kelemahan,
Tapi kita tahu yang kita masih belajar memperbaiki kelemahan tersebut.
Saya dan Awak sering diuji,
Tapi kita tahu bahawa Allah masih sayang pada kita maka diberikan kepada kita ujian itu.
Saya dan Awak pernah tersungkur,
Tapi kita tahu yang kita telah berjanji untuk sentiasa bersama di saat suka dan duka.
Saya dan Awak tak sama,
Tapi kita tahu yang hati kita telah diikat menjadi satu dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Awak, mungkin kita akan rasa berat dan tak mampu untuk melangkah tapi saya harap yang kita sentiasa yakin dengan janji Allah di mana Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan Allah tahu kita mampu. Jadi awak, jom kita sama usaha perbaiki diri kita dan cuba belajar menjadi duta Islam kerana Allah. Perjalanan awak dan saya masih panjang jadi saya harap kita sentiasa tajdid niat kita dalam setiap langkah yang kita ambil. Semoga Allah menjaga saya dan awak dalam perjalanan kehidupan ini. Fighting!
- Jom kita ke Syurga bersama -

Friday, 22 April 2016

MENCARI KETENANGAN HATI...

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
  • Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
  • Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
  • Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!