Seorang pesakit Cina masuk ke dalam bilik. Aku perasan akan bau busuk yang mencucuk hidung. Tapi aku fikir mungkin cuma aku sahaja yang merasakan begitu. Maka aku diamkan sahaja.
Kemudian aku perasan yang lain mula memakai mask untuk menutup hidung. Aku tetap tidak memakai mask, sekadar memakai sarung tangan. Malas.
Selesai sahaja sesi untuk pesakit itu, aku dengar ada yang bertanya, "Ada pewangi tak dalam bilik ni?" Aku tahu dia maksudkan bau busuk itu. Aku hanya diam. Menunggu yang lain untuk menjawab. Badan aku letih menyebabkan otot mulutku malas untuk berfungsi.
Seketika kemudian aku terfikir, jika pesakit yang belum menjadi jenazah/mayat itu pun manusia seolah-olah tidak tahan dengan bau busuk, macam mana pula kita bila dah mati nanti?
Atau yang lebih tepatnya, macam mana dengan kita sekarang? Kita rasa busuk 'bau badan' orang sebab kita ni disemburi 'minyak wangi'. Sedangkan hati kita yang busuk, tiada pula kita peduli orang terkesan atau tidak dengan 'kebusukannya'.
Kita dengan tenangnya bawa hati kita yang busuk kerana kita tahu orang lain tidak boleh hidu bau busuknya, tiada siapa yang boleh tahu apa yang terlintas olehnya. Cuba bayangkan jika hati itu boleh dilihat kondisinya atau dihidu baunya. Agaknya apa reaksi orang terhadap kita?
Adakah terpesona dengan harum baunya dan indah keadaannya, atau menyakitkan mata mereka yang melihat dan menyengat hidung mereka yang menghidu?
Hati bukanlah sekadar tempat untuk jatuh cinta, tetapi hatilah raja segala anggota badan yang mengawal segala tingkah laku kita. Jika baik hati kita, maka baiklah seluruh anggota badan kita. Kerana segala perbuatan kita adalah menurut kata hati. Kadang, akal pun diatasi oleh perintah hati.
Oleh itu, jangan dipandang enteng soal hati, jangan dibiarkan mati, siramilah dengan cinta Ilahi, agar ia subur kembali, bersinar sebelum ia diambil pergi.
:heart:إن في الجسد المضغة. إذا صلحت، صلح الجسد كله. وإذا فسدت، فسد الجسد كله. ألى وهي القلب.:yellow_heart:
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment